Tuesday, January 1, 2008

Tahniah Dan Syabas Buat Anis Nasyitah Mohd Noor (Ahli PPIM Trg)

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia (1 Januari 2008)

Kokurikulum tidak jejas pelajaran

SETIU 28 Dis. – Penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum bukan penghalang bagi Anis Nasyitah Mohd. Noor untuk muncul sebagai pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 peringkat negeri Terengganu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong yang sangat aktif dalam beberapa kelab di sekolahnya termasuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Kelab Matematik, Kelab Bahasa Inggeris dan Puteri Islam, memperoleh 8A dalam peperiksaan itu.

Ketika ditemui, anak keempat daripada lima adik beradik itu berkata, penyertaan dalam persatuan tidak menjadi penghalang dia mencapai kejayaan akademik.

‘‘Ini kerana saya membahagikan masa untuk kegiatan kokurikulum pada waktu siang dan pada waktu malam untuk mengulang kaji pelajaran.

‘‘Saya juga bermain badminton bersama rakan pada waktu petang kerana aktiviti ini membolehkan saya sentiasa sihat serta cergas pada setiap masa,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

Anis Nasyitah yang berasal dari Bukit Payong, Kuala Terengganu berkata, dia juga sentiasa memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran terutama semasa berada di kelas.

Katanya, masa yang paling sesuai untuk mengulang kaji pelajaran ialah antara pukul 4 pagi hingga 6 pagi kerana ketika itu suasana sunyi tanpa sebarang gangguan.

‘‘Saya tidak kisah walaupun ketika itu biasanya orang sedang tidur nyenyak tetapi saya bangun dari tidur untuk belajar dan selepas itu saya solat subuh,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Tok Dir, Kuala Terengganu itu.

No comments: